TINTA GURU BESAR





Assalamualaikum Wrt. Wbt. dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah di atas keizinan yang diberikan oleh Allah SWT serta Rahmat dan Kasih Sayang Nya. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan sepatah dua kata sebagai pembuka kata bagi sesi Persekolahan 2017 . Saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bertemu menempuhi sesi baru ini dengan penuh azam dan komitmen.

Selaku Guru Besar, saya turut berasa bangga dengan pencapaian anak-anak didik SKBK sepanjang tahun 2016 yang lalu. Oleh itu, teruskanlah kecemerlangan yang dicita-citakan kerana kejayaan dan kecemerlangan bukanlah suatu destinasi tetapi suatu perjalanan dan kembara yang tidak ada batas sempadannya. Maksudnya, kecemerlangan hendaklah menjadi budaya dan mendarah daging dalam setiap aspek kehidupan dan tidak terhenti setelah kita menamatkan zaman persekolahan sahaja. Blog SK Bukit Kenak ini adalah merupakan wadah atau medium bagi menyampaikan maklumat berkenaan SKBK dari aspek kemenjadian murid, pencapaian serta penyertaan di semua peringkat.

Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan perlulah ada kesepakatan dan kerjasama pelbagai pihak. Di peringkat sekolah, kita telah melakukan yang terbaik selaras dengan etika dan Piagam Pelanggan Perkhidmatan Pendidikan. Justeru, gandingan mantap daripada Ibu Bapa, keluarga dan masyarakat sekeliling amat diperlukan supaya matlamat pendidikan untuk melahirkan generasi bagi mengisi wawasan negara akan tercapai.
Akhirnya, sekalung penghargaan turut diucapkan kepada warga PIBG SK Bukit Kenak, semua guru-guru dan kakitangan sokongan sekolah kerana tidak jemu-jemu membantu dari segi material dan sokongan moral hingga kita berjaya mencipta nama dalam pelbagai bidang. Semoga semua usaha murni yang kita lakukan bersama mendapat redha dan ganjaran di sisiNya.
Sekian. Saya sudahi dengan lafaz Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.

Hj. Azmi bin Yaakob
Guru Besar SK Bukit Kenak

No comments:

Post a Comment