Monday 24 February 2014

MAJLIS PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN PENGAWAS SEKOLAH 2014



SK Bukit Kenak , Jerteh - Sekolah Kebangsaan Bukit Kenak telah mengadakan majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas Sekolah untuk sesi persekolahan 2014 pada 9 Februari 2014 melibatkan 44 orang murid-murid Tahun 3 hingga 6 yang telah dipilih oleh jawatankuasa pemilihan tahun ini.
Majlis tersebut yang bermula seawal 9.00 pagi telah disempurnakan oleh Tuan Guru Besar En. Wan Mohd. Zain bin Wan Bakar serta dengan kehadiran Pegawai Perhubungan Sekolah dari Balai Polis Jerteh iaitu Koperal Ibrahim bin Che Kar dan Lans koperal Azhar bin Ibrahim yang menggantikan pegawai mereka yang tidak dapat hadir kerana sebab-sebab tertentu.Majlis ini dimulakan dengan aluan pengerusi majlis, En. Yusoff bin Mamat dan diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Shakir bin Sofian. Seusai bacaan doa, majlis diteruskan lagi dengan nyanyian lagu Negaraku, Selamat Sultan dan Lagu Sekolah di bawah bimbingan En. Ku Hashim bin Tengku Kechik.
Ucapan Tuan Guru Besar En. Wan Mohd. Zain bin Wan Bakar
Majlis diteruskan lagi dengan sedikit ucapan dari Tuan Guru Besar SK Bukit Kenak, En. Wan Muhammad Zain bin Wan Bakar.  Beliau menekan tentang 6 Aspirasi Murid yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025. Beliau amatlah mengharapkan pengawas sekolah menjadi role-model kepada murid-murid dalam aspek ketinggian sahsiah serta akhlak yang mulia dan budaya memberi salam perlu dilaksanakan bermula dari pengawas sekolah.  Turut berucap dalam majlis tersebut, Lans Koperal Azhar bin Ibrahim yang mengingatkan antaranya mengingatkan para murid agar tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti jenayah, sama ada semasa berada di dalam mahupun di luar kawasan sekolah. Beliau turut menegaskan kepentingan para Pengawas menjalankan tugas dengan adil dan saksama untuk memastikan disiplin murid dan ketenteraman sekolah sentiasa berada pada tahap terbaik.
Majlis penyerahan Watikah Pelantikan ini dimulakan dengan penyarungan blazer kepada Adik Muhammad Muzammil bin Mat Rofe sebagai simbolik perlantikan sebagai Ketua Pengawas. Turut disampaikan pelantikan penolong Ketua Pengawas iaitu Adik Nur Maisarah bt. Said. Ini diikuti dengan semua pengawas lain Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan ikrar Pengawas yang diketuai oleh Ketua Pengawas yang baru dilantik iaitu Adik Muhammad Muzammil bin Mat Rofe dari Tahun 6 Jaya.
Dan bagi menghargai kesudian Pegawai Perhubungan Sekolah untuk hadir menyempurnakan majlis Penyerahan Watikah Pengawas, Guru Besar SK Bukit Kenak menyampaikan hadiah cenderahati kepada beliau. Majlis ini diakhiri dengan sessi fotografi Pengawas SKBK bersama guru-guru Badan Pengawas, Pihak Pengurusan Sekolah  serta jemputan yang hadir. Sedikit jamuan mengakhiri majlis pada jam 10.00 pagi.
Badan Pengawas SK Bukit Kenak mengucapkan tahniah kepada semua Pengawas Sekolah yang telah terpilih untuk sesi 2014, serta mengharapkan agar semua Pengawas dapat menjalankan tugas masing-masing dengan berkesan.

No comments:

Post a Comment