Monday 18 February 2013

MAJLIS WATIKAH PELANTIKAN PENGAWAS 2013


SK Bukit Kenak , Jerteh - Sekolah Kebangsaan Bukit Kenak telah mengadakan majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas Sekolah untuk sesi persekolahan 2013 pada 17 Februari yang lalu melibatkan 57 orang murid-murid Tahun 3 hingga 6 yang telah dipilih oleh jawatankuasa pemilihan tahun ini. Majlis tersebut yang bermula seawal 8.30 pagi telah disempurnakan oleh YBhg Inspektor Muhd. Rusdi bin Ruslin dari  Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, Terengganu. Majlis ini juga dihadiri oleh Wakil Pegawai Pelajaran Daerah, Tn. Haji Rashid bin Idris.
Majlis ini dimulakan dengan aluan pengerusi majlis, Cik Suhaila bt. Abu Bakar dan diikuti dengan bacaan doa yang diketuai oleh Adik  Muhammad Farid Ariffin bin Abdul Azim Tat. Seusai bacaan doa, majlis diteruskan lagi dengan nyanyian lagu Negaraku, Selamat Sultan dan Lagu Sekolah di bawah bimbingan En. Ku Hashim bin Tengku Kechik.

Majlis diteruskan lagi dengan sedikit ucapan dari Tuan Guru Besar SK Bukit Kenak, En. Wan Muhammad Zain bin Wan Bakar.  Sebelum penyerahan watikah, YBhg Inspektor Muhd. Rusdi bin Ruslin menyampaikan ceramah antaranya mengingatkan para murid agar tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti jenayah, sama ada semasa berada di dalam mahupun di luar kawasan sekolah. Beliau turut menegaskan kepentingan para Pengawas menjalankan tugas dengan adil dan saksama untuk memastikan disiplin murid dan ketenteraman sekolah sentiasa berada pada tahap terbaik.

Selesai ceramah beliau , YBhg Inspektor Muhd. Rusdi bin Ruslin telah menyampaikan watikah pelantikan kepada semua Pengawas yang dilantik, . Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan ikrar Pengawas yang diketuai oleh Ketua Pengawas yang baru dilantik iaitu Adik Muhammad Hazim bin Tarmuzi dari Tahun 6 Jaya.

Dan bagi menghargai kesudian YBhg Inspektor Muhd. Rusdi bin Ruslin untuk hadir menyempurnakan majlis Penyerahan Watikah Pengawas, Guru Besar SK Bukit Kenak menyampaikan hadiah cenderahati kepada beliau. Majlis ini diakhiri dengan sessi fotografi Pengawas SKBK bersama guru-guru Badan Pengawas, Pihak Pengurusan Sekolah  serta jemputan yang hadir. Sedikit jamuan mengakhiri majlis pada jam 10.00 pagi.

Badan Pengawas SK Bukit Kenak mengucapkan tahniah kepada semua Pengawas Sekolah yang telah terpilih untuk sesi 2013, serta mengharapkan agar semua Pengawas dapat menjalankan tugas masing-masing dengan berkesan.


yus/stpost13

No comments:

Post a Comment